SHAH ALAM - Laman web Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) digodam hari
ini, dipercayai tengah hari ini - sehari selepas Presidennya Sultan
Ahmad Shah bertitah bahawa timbalan baginda, Tan Sri Annuar Musa telah
melakukan "kesalahan besar" dan akan berhadapan dengan hukuman berat.
Penggodam yang hanya menggelar mereka "Mesej dari rakyat_marhein"
antara lain meninggalkan beberapa foto dan karikatur yang menggambarkan
seolah-olah FAM mengawal dan cuba menutup mulut pegawai-pegawai kanannya
daripada membuat kenyataan media.
Selain itu, penggodam juga mesej meminta FAM dirombak semula dan mahu presidennya meletakkan jawatan.
Ini kali kedua laman web FAM digodam selepas kali terakhir pada Oktober
lalu. Ketika itu ia digodam berhubung isu kenaikan harga tiket
perlawanan Piala Malaysia.
Semalam, Sultan Ahmad Shah bertitah bahawa Annuar telah melakukan satu
kesalahan besar dan akan berdepan dengan Jawatankuasa Tatatertib FAM
pada 4 April ini untuk mengetahui keputusan mengenai kesnya itu.
“Dia (Annuar) perlu berdepan dengan Jawatankuasa Disiplin kerana apa
yang dilakukan itu kesalahan besar. Bila sudah buat satu tindakan tidak
bijak yang menyalahi undang-undang, dia kena berhadapan dengan tindakan
itu,” titah baginda.
Dalam pada itu baginda bertitah, tindakan Annuar itu merupakan sesuatu langkah tidak wajar dan akhirnya memakan diri sendiri.
Baru-baru ini Annuar, bekas menteri Kabinet Persekutuan, melahirkan
keraguan terhadap kemampuan Malaysia mempertahankan Piala Suzuki AFF
November ini ekoran aksi goyah sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun pada satu majlis di Shah Alam baru-baru ini, Annuar
berkata, kenyataan beliau disalah tafsir pihak media kerana beliau hanya
mengkritik pasukan kebangsaan, tidak merujuk kepada mana-mana individu
termasuk Datuk K Rajagobal.
Antara pertuduhan ke atas Annuar ialah melanggar Statut FAM dengan
membuat kenyataan akhbar, di mana hanya Presiden FAM yang juga
Pengerusi Jawatankuasa Pe-ngurusan Pasukan Kebangsaan FAM saja boleh
beri komen mengenai skuad kebangsaan.
Source Sinarharian
0 comments:
Post a Comment