Masalah pening Vertigo – Penyakit ketidakseimbangan dalam telinga.
Ruang yang dilihat di sekelilingnya
seakan-akan sedang berputar. Pandangannya yang berpusing-pusing itu
seperti orang yang baru kali pertama menaiki roller coaster. Disertai
pula rasa loya dan muntah, si penderita keadaan ini adakalanya takut
untuk bergerak. Diagnosis Pakar Telinga, Hidung dan Tekak
(ENT), Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Kuljit Singh mendapati semua
itu adalah simptom kepada penyakit pening yang berpunca daripada
ketidakseimbangan dalam telinga atau dikenali juga sebagai vertigo. Jelas Kuljit, terdapat beberapa simptom yang
menjadi petunjuk kepada penyakit ini seperti pergerakan ritma mata yang
abnormal (nistagmus), pening serta loya dan muntah. Dalam kes-kes lazim, seseorang pada mulanya
hanya menganggap ia sekadar pening biasa, namun tidak dapat
menggambarkan keadaan sensasi tidak stabil, rasa melayang serta
penglihatan yang berpinar-pinar. “Bagi penghidap vertigo Benign Paroxysmal
Positional (BPPV), serangan seringkali berlaku ketika bangun tidur pada
waktu pagi dan disertai kombinasi simptom lain.
“Tempoh serangan mungkin hanya sekitar satu
minit namun sensasi serangan tersebut mungkin berakhir setelah beberapa
minggu,” jelasnya tentang episod pening melampau namun singkat itu.
Ketidakseimbangan tekanan dalam telinga menyebabkan vertigo.
Dalam pada itu, vertigo postur phobic pula
boleh terjadi apabila wujud faktor stimulasi berdiri seperti menaiki
tangga, berdiri atau melakukan apa saja pergerakan terutama melibatkan
kepala. Sekiranya vertigo muncul dari pusat
keseimbangan otak, ia lebih rumit kerana berkait dengan kerosakan
neurologi. Ini menjelaskan berlakunya pertuturan yang tidak jelas,
penglihatan berganda dan ketidakseimbangan tubuh. Kuljit turut memberitahu bahawa serangan
vertigo terdapat dalam beberapa jenis mengikut situasi dan penyakit yang
berkaitan dengan pesakit. “Misalnya vertigo periferal disebabkan oleh
trauma pada kepala akibat kecederaan, manakala bagi kes penyakit
Meniere, vertigo tercetus akibat berlaku keadaan abnormal pada telinga
dalam. “Ia bukan saja menyebabkan keadaan kepala seolah-olah merasa kesan berpusing, malah telinga berdesing (tinitus),” terang Kuljit. Di samping itu, fistula perilimfa merupakan
abnormaliti yang terjadi di antara ruang dalam telinga yang mengandungi
cecair iaitu meliputi koklea dan telinga tengah yang terdiri daripada
gegendang telinga dan tulang-tulang osikel iaitu tukul, rakap dan andas. Terang Kuljit, serangan vertigo jenis ini
tidak kronik dan boleh sembuh dengan sendiri walaupun dalam kes tertentu
memerlukan pembedahan untuk pulih semula. “Satu lagi jenis vertigo disebut sebagai
idiopatik. Penyebab bagi jenis ini ini tidak menemui penjelasan sebenar
kerana ia merupakan kombinasi beberapa jenis vertigo. Namun, pencetus
utamanya adalah pergerakan,” katanya. Kebanyakan pesakit adalah daripada golongan
pertengahan umur dan ia mungkin berpunca daripada vestibul yang menjadi
lebih sensitif.
Rawatan
Rawatan yang perlu dijalani bergantung
kepada jenis vertigo yang dialami oleh pesakit. Namun, diagnosis
terhadap keadaan telinga dalam pesakit akan menentukan pencetus utama
penyakit ini. Menurut Kuljit, terdapat beberapa cara untuk
mengubati penyakit ini termasuk menggunakan ubat-ubatan seperti
betasere, stemetil dan stugeron. Beberapa siri pergerakan yang dikenali
sebagai Prosedur Menempatkan Semula Canalith bagi melegakan BPPV
merupakan rawatan utama bagi vertigo. Mudah dan tidak mengambil masa yang lama,
prosedur berkenaan terdiri daripada beberapa pergerakan ringkas untuk
meletakkan kepala dalam kedudukan yang betul. “Paling utama, partikel-partikel daripada
kanal separa bulat berisi cecair (labirin vestibular) digerakkan untuk
memasuki struktur seperti beg halus (utrikel), di mana partikel-partikel
ini tidak lagi mengganggu selama sekitar 30 saat,” ungkap Kuljit. Usai prosedur, pesakit perlulah mengelak
daripada baring terlentang selama 24 ke 48 jam. Malah pesakit juga
digalakkan untuk meninggikan bahagian kepala di atas bantal semasa
tidur. “Ini memberikan masa kepada
partikel-partikel tadi untuk terapung-apung di dalam labirin sebelum
mendap di dalam utrikel ataupun diserap semula oleh cecair-cecair
tubuh,” katanya.
Oleh SHANIKA ABDULLATIB
0 comments:
Post a Comment